Tajuk: Kesan Efikasi Kendiri Guru Sejarah Terhadap Amalan Pengajaran Berbantukan
Teknologi Maklmumat dan Komunik
Senario pendidikan kini amat memerlukan guru-guru Sejarah yang kreatif dan inovatif supaya pengajaran dan pembelajaran mereka adalah efektif. Kreatif bermaksud kebolehan seseorang untuk mencipta, menghasilkan dan memperkembang sesuatu. Inovatif pula ialah kebolehan seseorang untuk memulakan sesuatu yang baru sama ada dalam bentuk kaedah, sistem pendekatan atau sebagainya. Menurut Abd. Rahim (1999), daya kreativiti yang tinggi membolehkan sesuatu kaedah dan metod pengajaran mencorakkan perkembangan minda, emosi, sikap dan nilai para pelajar. Kreativiti juga memerlukan daya imaginasi untuk membolehkan para pelajar meneroka dan menghayati pengajaran yang berguna dalam mata pelajaran Sejarah. Ketandusan unsur kreatif dalam pengajaran Sejarah menyebabkan pelajar berasa bosan, jemu dan tidak berminat dengan mata pelajaran Sejarah. Kelemahan ini berpunca daripada kaedah pengajaran guru itu sendiri yang lebih banyak diorientasikan oleh keperluan peperiksaaan dan menghabiskan sukatan pelajaran (Hazri Jamil, 2003). Malah ketandusan inovasi dan pembaharuan yang berterusan dalam pengajaran Sejarah di sekolah menyebabkan pelajar merasakan mata pelajaran ini stereotaip, tidak mencabar, statik dan membosankan (PPK, 2004). Pengajaran berbantukan ICT seperti melalui penerokaan sumber digital dengan melayari laman web boleh membantu meningkatkan minat pelajar serta menjadikan proses P&P lebih menarik serta “menghidupkan” mata pelajaran itu sendiri. Keputusan untuk menggunakan ICT pula mungkin dipengaruhi oleh pelbagai faktor seperti pengetahuan dan kemahiran serta kemudahan dan kekangan di sekolah. Namun beberapa kajian menunjukkan bahawa kepercayaan guru berkaitan penggunaan ICT dalam kerja-kerja mereka merupakan faktor penentu dalam kemampuan guru mengintergrasikannya dalam pengajaran (Mohd Zaaba & Zurida, 2002; Pajares, 2002). Dengan kata lain, kepercayaan efikasi kendiri mempengaruhi pemilihan tindakan, corak pemikiran dan reaksi emosi seseorang guru terhadap suatu situasi yang dihadapi. Individu yang berefikasi tinggi akan menghadapi tugasan-tugasan sukar sebagai cabaran yang perlu di atasi, malah mempunyai daya usaha yang kuat untuk meningkatkan pencapaian dan perwatakan. Berdasarkan kepada premis di atas, kajian ini bertujuan untk mengenal pasti tahap efikasi kendiri guru Sejarah dan tahap amalan pengajaran Sejarah berbantukan ICT.
ICT dalam Pengajaran dan Pembelajaran
Menurut Ahmad Fuad (2003), dalam konteks pendidikan,teknologi maklumat merupakan satu rangkaian elektronik untuk mencari, mengumpul, menyimpan, memproses, menyalur dan menyampai maklumat secara efektif, pantas dan banyak untuk membantu prosespengajaran dan pembelajaran. Manakala Halimahtun Saadiah dan Nor Azilah Ngah (2003) pula mendapati kejayaan ICT dalam pendidikan bukan hanya terletak pada teknologi tetapi juga faktor lain seperti pendekatan pedagogi, subjek yang diajar, jenis pelajar, tahap pencapaian pelajar, keperluan pelajar, guru dan persekitaran bilik darjah. Dalam hal ini Irfan Naufal Umar (2004) pula mendapati penggunaan ICT dalam proses P&P membolehkan bilik darjah bertemu dengan dunia nyata serta membolehkan pelajar pelajar sendiri mencari maklumat dan bahan asal; memudahkan kolaboratif dan perbandingan global; dan membolehkan bahan-bahan multimedia dicipta dan disebarkan dengan mudah. Selain daripada itu, Harris (2000) pula mengkategorikan penggunaan ICT dalam P&P kepada tiga, iaitu:
i. pertukaran interpersonal seperti penyertaan dalam kumpulan perbincangan eletronik, bilik darjah global yang melibatkan pelajar-pelajar bertukar pendapat tentang sesuatu topik dan hubungan elektronik dengan pakar
ii. koleksi maklumat yang melibatkan pelajar-pelajar dan guru-guru berkongsi atrikel, sumber pengajaran dan rancangan pengajaran atau berkongsi data untuk dianalisis
iii.projek yang melibatkan penyelesaian masalah selari yang melibatkan pelajar daripada pelbagai lokasi meninjau sesuatu dan kemudiannnya berkongsi kaedah dan dapatan kajian.
Di samping itu penggunaan ICT dalam P&P membolehkan pelajar bersifat aktif dalam pencarian maklumat dan membina pengetahuan daripada maklumat yang diperolehnya serta berpeluang menghubungkait pengetahuan merentas mata pelajaran tanpa disekat oleh masa dan jarak.
Efikasi Guru Terhadap Penggunaan ICT dalam P&P
Mengikut Ahmad Fuad (2003) hasrat untuk mencapai penggunaan ICT secara menyeluruh dalam proses pengajaran dan pembelajaran memerlukan dua jenis perubahan dalam kalangan guru. Pertama, guru harus diyakinkan bahawa terdapat banyak kebaikan dan kepentingan penggunaan ICT dalam P&P. Kedua, guru perlu diberikan kemahiran yang mencukupi untuk menggunakan peralatan ICT secara cekap dan efektif. Mengikut Sarimah (2003) pula latihan ICT diperlukan bukan sahaja untuk melatih kemahiran penggunaannya tetapi juga untuk menyakinkan penggunaannya dalam P&P dalam kalangan guru. Malah Norizan (2003) dalam kajiannya mendapati wujud perhubungan yang baik antara kemahiran ICT dengan amalan ICT dalam P&P. Manakala Mohd Zaaba dan Zurida mendapati guru-guru masih tidak pasti akan keupayaan mereka untuk menggabungkan ICT dalam pengajaran. Kebanyakan daripada mereka masih berada di tahap ‘perlu belajar’ untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam ICT. Keupayaan seseorang untuk menggabungkan ICT dalam pengajaran bukan berlaku secara automatis. Pengetahuan dan kemahiran dalam ICT tidak menjamin pengintergrasiannya dalam kurikulum dan juga pengajaran. Justeru, adalah penting bagi guru untuk membuat persediaan yang mencukupi agar dapat memenuhi tuntutan dan jangkaan masyarakat untuk menggabungkan ICT dalam pengajaran. Sikap serta keyakinan dan efikasi yang tinggi membantu memudahkan proses peningkatan kemahiran dalam pelaksanaan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Albion (1999) menyarankan bahawa satu cara yang ideal untuk meningkatkan efikasi guru terhadap penggunaan ICT ialah dengan menyediakan latihan kemahiran ICT kerana ia berupaya meningkatkan efikasi guru.Menyokong pendapat Albion (1999) ialah Jones (2002) yang menyatakan bahawa apabila guru menggunakan ICT untuk tujuan pengajaran, keyakinan diri akan muncul sebagai petunjuk yang penting ke atas seseorang guru untuk mengajar ICT dalam bilik darjah. Hal ini diperkukuhkan lagi oleh Moersch (2001), bahawa penggunaan ICT dalam pengajaran adalah bergantung kepada keyakinan diri guru untuk mengguna dan mengendali peralatan ICT.
Kesimpulan
Guru seharusnya mengintergrasikan ICT dalam pengajaran mereka supaya P&P menjadi lebih menarik dan berkesan. Guru-guru juga perlu menyesuaikan kaedah pengajaran mengikut perkembangan semasa agar mereka tidak menjadi guru yang terpinggir dan kaku. Guru seharusnya mempunyai keyakinan untuk mengintergrasikan ICT dalam pengajaran bagi meningkatkan keberkesanan pengajaran masing-masing
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Pada pendapat saya ,mata pelajaran sejarah antara salah satu subjek yang banyak melibatkan fakta ,yang kadangkala membosankan pelajar.Ini kerana kadangkala tanggungjawab terhadap sistem pendidikan di Malaysia yang terlalu berorientasikan peperiksaan untuk menghabiskan silibus menghalang daya kreativiti guru.Oleh sebab itu guru perlu pandai mengaplikasikan penggunaan ICT bagi menarik minat pelajar untuk belajar Sejarah seperti menggunakan cerita sejarah dalam bentuk kartun animasi agar pelajar dapat menghayati dengan jelas perjalanan sejarah dan kesannya terhadap masyarakat.Pihak yang bertanggungjawab juga mestilah mengadakan latihan cara penggunaan peralatan ICT bersesuaian dengan kandungan pengajaran agar guru sentiasa dapat mengikuti perkembangan ICT semasa dan menjadi guru yang berkemahiran.Penggunaan ICT dalam pengajaran sejarah juga dapat menghidupkan suasana belajar dan bilik darjah akan menjadi mesra pelajar.
ReplyDelete